Pages

Sunday, June 12, 2011

Cerita Kita - Part 1

          Dhiya masih lagi duduk termenung memandang langit yang kelam tetapi penuh dengan bintang yang memancarkan cahayanya yang terang. Entah mengapa sejak kejadian itu, dia amat gemar berbuat demikian. Terasa seolah-olah dekat dengan insan yang telah pergi. Saat itu hanya satu wajah yang tergambar di dada langit. Wajah Haidar, bekas tunangannya yang berada di situ. Dhiya amat merindui Haidar. Tingkah lakunya, senyumannya, suaranya, dan bermacam-macam lagi tentang Haidar yang sentiasa menjadi ingatan dan teman kepada hari-hari yang Dhiya lalui. Ternyata hidup seorang anak yatim piatu yang tidak mempunyai ramai kawan sepertinya amat sunyi tanpa haidar yang selama ini ibarat penyeri dalam hidupnya.


          "Dhiya... sudah-sudahlah tu... sampai bila kau nak hidup macam ni? Kesian sikit kat diri kau tu. Cuba kau gembira sikit," tegur Irma di muka pintu. Niat di hati untuk mengambil minuman di dapur terbantut apabila terlihatkan wajah sendu Dhiya di balkoni. Sudah lama dia mengenali Dhiya. Mereka bersekolah di tempat yang sama dan merupakan rakan sekelas. Mereka juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti yang sama walaupun mengambil jurusan yang berbeza.


          Kini mereka di alam pekerjaan dan tinggal menyewa bersama. Sudah seminggu Dhiya berkeadaan sendu begitu. Ini bermakna sudah seminggu juga Dhiya tidak bekerja. Berkali-kali setiausaha ketuanya di pejabat menelefon supaya Dhiya kembali bertugas, namun hatinya masih berkeras untuk terus melayan sendu yang bertamu di kalbu.


          Entahlah... sudah penat mulut Irma memberi nasihat tetapi Dhiya tetap juga begitu. Kali terakhir Irma melihat keadaan Dhiya bermurung adalah sewaktu satu-satunya ibu angkat yang sudah dianggap seperti ibu sendiri meninggal dunia. Ketika itu, mereka sedang menghadapi peperiksaan semester akhir di universiti. Waktu itu Haidar banyak memberikan Dhiya semangat untuk meneruskan kehidupan.


          Kata-kata Haidar masih di ingatan Irma. Kata Haidar, "Orang yang dah pergi tak mungkin hidup balik. Dhiya mesti teruskan kehidupan. Takkan nak bermurung je sampai bila-bila. Tak elok buat macam ni. Sudahlah Dhiya. Ini bukan penghujung kehidupan." Kini keadaan itu berulang kembali. Bezanya cuma Dhiya menangisi pemergian insan lain yang bertapak di hatinya dan insan itu bakal berkongsi kehidupan dengannya dalam masa tidak sampai sebulan. Namun pelamin yang diangankan musnah sebelum sempat didirikan. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi Haidar, dan Dia lebih mengetahui akan rencanaNya.


          "Dhiya, kita pergi bercuti nak tak? Mana tau kat sana nanti kau boleh tenangkan fikiran. Jomlah Dhiya... Aku tanggung semua perbelanjaan kita nanti. nak tak?" Irma mengusulkan ideanya yang datang secara tiba-tiba. Namun Dhiya tetap diam seribu bahasa. Kadang kala Irma merasakan seolah-olah dia menghuni rumah tersebut seorang diri. Dhiya hanya akan bercakap jika dia berasa perlu sahaja.


          "Takpe lah Dhiya. Kau fikirkanlah dulu cadangan aku tadi. Aku tak nak paksa kau. Kalau kau setuju bagitau kat aku ye," Irma meninggalkan Dhiya sendirian dan masuk ke biliknya. Di dalam hatinya bertanya, bilalah Dhiya akan kembali ceria seperti dahulu?


p/s : bersambung...

0 komen budak comel: